Tuesday, February 28, 2006

Adakah Rumah Anda Sesuai Sebagai Tempat Bekerja?

Anda mungkin ingin bekerja dari rumah, tetapi adakah anda telah menyediakan rumah anda seadanya supaya anda boleh bekerja dengan selesa?

Kecuali jika anda telah memasukkan sekali cadangan untuk rumah berpejabat kedalam pelan rumah baru anda, atau anda mempunyai ruang dan kewangan yang mencukupi untuk menyediakan suatu sistem pejabat buatan, rumah berpejabat anda mungkin tidak menyamai sebuah pejabat biasa. Walau bagaimanapun, ini tidak bermakna bahawa ia tidak dapat berfungsi seperti fungsi pejabat yang biasa.

Didalam artikel ini, kita akan melihat kepada konsep ruang, susun atur dan persekitaran dalam proses untuk mendapatkan sebuah pejabat di rumah yang sesuai.

Pengurusan Ruang

Ketika anda melangkah masuk ke satu ruang kosong sebuah bilik, apakah yang anda lihat?

Anda mungkin melihat satu kawasan yang berkeluasan 100 kaki persegi, dan itu sahaja! Dengan sedikit kreativiti dan kemahiran organisasi, anda juga akan menyedari satu ruang bekerja / penyimpanan yang sepuluh kali atau mungkin juga seratus kali lebih dari keluasan lantainya.

Menguruskan satu ruang fizikal merupakan satu tugas yang mencabar. Terutama sekali sekiranya anda bekerja dari rumah. Anda perlu mendapatkan satu ruang khas daripada persekitaran yang telah sedia ada. Pada tahap-tahap yang tertentu, ia melibatkan pula kemahiran organisasi.

Berkemaslah dan anda akan menemui banyak ruang kosong yang tidak pernah anda terfikirkan. Buangkan semua barang-barang yang tidak perlu dan tidak boleh digunakan lagi. Jika ianya masih dalam keadaan elok, pertimbangkan untuk menjualnya ke kedai barang-barang terpakai ataupun dipasar-pasar lambak.

Bagi tujuan untuk memaksimumkan ruang fizikal kosong yang ada, anda perlu melihat ke beberapa arah yang tertentu – atas, bawah, sisi, dalam, luar dan menegak.

Atas – Perhatikan samada terdapat ruang kosong diatas katil tidur anda, tingkap dan almari pakaian.

Bawah – Maksimumkan penggunaan ruang kosong dibawah katil anda, sofa, sinki dapur dan tangga. Simpan barang didalam kotak-kotak yang berlabel dengan kemas dan terang.

Sisi – Tolak semua perabot rapat ke dinding. Jika anda perlu ruang permukaan kerja yang lebih, pertimbangkan meja lipat yang bersambung dan terikat didinding.

Dalam - Maksimumkan penggunaan ruang didalam almari, almari pakaian, kabinet dan laci sedia ada. Tambah penyangkuk untuk mengantung barang-barang dan ‘plywood’ untuk menambahkan lagi para-para untuk tujuan simpanan.

Luar – Perhatikan sekeliling dan lihat samada terdapat kawasan-kawasan yang tidak digunakan sepenuhnya. Bina beberapa para-para pada dinding dengan menggunakan bahan-bahan ringkas yang tersedia dipasaran bagi memperolehi ruang meletak barang yang lebih ataupun mempamer barangan.

Menegak – Manfaatkan sepenuhnya ketinggian dinding-dinding rumah anda. Dengan cara ini, anda mengurangkan pengguna ruang pada lantai. Namun begitu, pastikan anda juga mempastikan aspek-aspek keselamatan sekiranya anda mempertimbangkan untuk menyusun kotak-kotak secara menegak.

Selain daripada ruang fizikal, ruang psikologi juga merupakan sesuatu yang tidak boleh anda abaikan. Pertimbangkan perkara-perkara berikut:

Adakah anda mempunyai ruang penampan yang selesa diantara kawasan bekerja anda dan ruang duduk keluarga atau bilik-bilik tidur / katil?
Jika perlu, anda mungkin perlu menyekat kawasan bekerja anda dengan menggunakan tumbuh-tumbuhan didalam pasu, rak buku atau tirai-tirai yang menarik.
Adakah ‘pejabat’ anda itu akan menganggu rutin harian ahli-ahli keluarga anda? Adakah mereka akhirnya perlu menjawapkan panggilan telefon untuk anda? Adakah anda menuntut keadaan yang sunyi sepi dirumah anda semasa anda bekerja?
Adakah anda menganggu privasi mereka atau sebaliknya ketika anda bekerja di rumah? Adakah perubahan kedudukan perabot rumah telah menyusahkan ahli-ahli keluarga anda? Adakah perkara ini akan menghasilkan perasaan kecil hati dan tiada persefahaman dimasa akan datang?

Ingatlah, kita perlu tahu membezakan diantara pengasingan dan gangguan. Anak-anak anda mungkin tidak akan bersetuju dengan idea anda untuk mengasingkan diri ketika anda sedang melakukan kerja-kerja ‘berfikir’ yang serius. Dengan itu, anda mungkin memerlukan suasana sunyi tersebut dalam usaha menyiapkan kerja sebelum tarikh akhir. Untuk perkara seperti ini, ruang psikologi juga adalah sama pentingnya seperti ruang fizikal.

Susun Atur Tempat Kerja

Mungkin boleh melemahkan semangat apabila memikirkan tentang peralatan atau barangan yang perlu anda susun didalam tempat kerja anda. Dimana perlu kita mulakan? Panduan am berikut adalah satu aliran kerja secara logik.

Persediaan ‘pejabat’ rumah anda perlulah selari dengan aliran dan ciri semulajadi kerja anda. Simpan benda-benda yang akan selalu digunakan pada jangkauan tangan anda. Ia termasuklah rekod-rekod perniagaan anda, fail kertas, disket computer dan kad-kad nama.

Pastikan ‘pejabat’ rumah anda itu menawarkan persekitaran yang selamat untuk anda bekerja didalamnya – adakah wayar-wayar berada didalam keadaan yang kemas dan sepatutnya, supaya anda tidak akan tersadung wayar mesin pencetak anda? Keselamatan adalah lebih menjadi keutamaan bagi golongan wanita mengandung dan yang menggunakan kerusi roda.

Gunakan cahaya semulajadi seberapa banyak yang boleh untuk menjimatkan perbelanjaan tenaga elektrik.

Apa sahaja jenis perniagaan yang anda ceburi, produktiviti, keselamatan, ruang dan sumber tenaga yang efisien merupakan pengukur yang penting untuk menghasilkan susun atur ‘pejabat’ rumah yang terbaik.

Persekitaran Yang Betul

Mewujudkan atmosfera perniagaan adalah penting sekiranya anda akan menerima kedatangan pelanggan atau pengguna anda dirumah. Sebenarnya, apabila anda menjalankan SOHO anda sendiri, adalah payah untuk memastikan pelanggan terus berada diluar! Apabila mereka singgah untuk mengambil barang-barang tempahan mereka, adalah payah untuk tidak menjemput mereka masuk kedalam rumah.

Ambil langkah-langkah berikut sebagai panduan:

Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan ‘SOHO’ seperti rekabentuk grafik; perakaunan; perunding kewangan; perkhidmatan kesetiausahaan; ‘copywriting’; terjemahan; ‘desktop publishing’ dan rekabentuk laman web:

Pelanggan atau bakal pelanggan anda mungkin berminat kepada keadaan pejabat anda, keupayaan, bahan-bahan rujukan, kelulusan dan pengiktirafan industri jika ada. Sentiasa kemaskini contoh-contoh hasil kerja anda dan senarai pelanggan-pelanggan yang dikenali ramai. Beberapa benda yang disusun dengan teratur dan bersesuaian dengan tema keseluruhan anda seperti sebuah meja atau papan putih digantung didinding dengan kemasnya akan menaikkan seri ruang pejabat anda tanpa menghalang daya produktiviti kerja anda. Anda juga boleh mempertimbangkan untuk menambah satu dua jenis tumbuhan atau sedikit sentuhan artistik untuk memberikan ‘kehidupan’ kepada pejabat anda.

Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan pengurusan acara seperti mengelolakan jamuan harijadi, jamuan perkahwinan, jamuan-jamuan koperat, perhimpunan-perhimpunan etnik atau sebarang aktiviti-aktiviti khas:

Gantungkan gambar-gambar acara-acara yang pernah anda uruskan sebelum ini didalam pejabat anda. Jadikan bakal-bakal pelanggan anda teruja dengan membantu mereka membayangkan acara-acara yang bakal anda kelolakan untuk mereka dengan bantuan gambar-gambar tersebut.

Sekiranya anda menjual pakaian dan aksesori dari rumah:

Anda akan perlukan sebuah bilik persalinan untuk kemudahan pelanggan-pelanggan anda. Pengalaman untuk mencuba pakaian perlulah sesuatu yang menenangkan dan selesa sepertimana pengalaman membeli-belah dipusat membeli-belah. Sediakan koleksi majalah-majalah fesyen wanita yang terkini ditempat-tempat yang mudah dijangkau oleh pelanggan-pelanggan anda.

Sekiranya anda menjual barang-barang seperti kraftangan, hadiah buatan tangan, gubahan bunga dan yang seumpanya dari rumah:

Pamerkan hasil-hasil kerja anda dengan bantuan alatan yang sesuai mengikut suasana yang tertentu. Persekitaran yang bersepah boleh merendahkan daya tarikan barang-barang tersebut.

Sekiranya anda menyediakan perkhidmatan penjagaan bayi dan kanak-kanak uzur dirumah:

Kebimbangan utama pelanggan anda termasuklah keselamatan, kebersihan, sumber cahaya dan peredaran udara.

Ingat, ‘pejabat’ rumah anda adalah bidang anda. Anda dengan mudah boleh mereka bentuk sebuah pejabat yang akan mencerminkan personaliti dan stail anda, didalam ruangan yang terbatas dan belanjawan anda. Jangan lupa, ‘pejabat’ rumah akan berkembang mengikut masa, bergantung kepada keperluan perniagaan anda.

Kebaikan Bekerja Dari Rumah

Lagenda tinju, Muhammad Ali yang juga dikenali sebagai Cassius Clay, pernah berkata, “Apa yang penting bukanlah berapa banyak wang yang anda perolehi, tetapi bagaimana anda membelanjakan wang yang sedikit.”

Rahsia menyimpan wang ialah dengan mengurangkan perbelanjaan dengan bekerja dari rumah dan mengawal belanjawan.

Ia mungkin kedengaran mustahil: “Pendapatan anda kurang; inflasi sedang berlaku – harga barang-barang mahal tetapi anda kata anda boleh menyimpan lebih banyak. Benarkah?” Aneh, bukan?

Pertama sekali, apabila anda bekerja dari rumah, masa anda kurang dihabiskan di jalanraya dan ini bermakna kereta anda kurang menerima tekanan. Oleh itu, bukan sahaja kos untuk petrol akan berkurangan tetapi juga kos membaiki dan menyelenggarakan kereta.

Sedarkah anda bahawa setiap kali anda membawa kereta berjumpa mekanik, anda terpaksa membayar lebih kerana anda selalunya terpaksa membaiki bahagian yang sebenarnya masih berfungsi dengan baik? Saya pasti kebanyakan dari anda hanya menyerahkan bulat-bulat kepada mereka yang pakar untuk menentukan apa yang baik untuk kereta anda.

Dengan bekerja dari rumah juga, anda tidak perlu menukar kereta atau membeli pakaian baru kerana pakaian yang ringkas adalah lebih sesuai apabila anda bekerja di rumah. Ke pejabat, anda mungkin berpakaian cantik, tetapi di rumah tidak perlu. Anda bukan sahaja dapat menjimatkan wang membeli pakaian yang mahal, beg dan kasut yang sedondong, tetapi anda juga dapat berjimat dari membeli alat solek. Pernahkah anda terfikir bagaimana setiap kali pulang dari pejabat anda akan bergegas menukar pakaian yang lebih selesa? Tentu sekali pakaian biasa ini lebih murah dan selesa! Di rumah anda tidak perlu berhias.

Jika anda bekerja dari rumah juga, anda dapat menjimatkan masa. Anda boleh merancang masa anda dengan lebih baik. Anda boleh pergi berbelanja barangan dapur semasa keluar membayar bil dan sebagainya. Masa berada di tangan anda dan anda tidak perlu melapor diri kepada sesiapa. Dengan ini, anda dapat menjimatkan masa yang boleh anda gunakan untuk membuat kerja anda di rumah. Apabila keluar berbelanja, buatlah senarai barang-barang yang perlu anda beli untuk mengelakkan berbelanja keterlaluan.

Jangan berbelanja ketika perut lapar kerana anda tidak sedar akan tarikan gerai makanan ke atas selera anda semasa anda sedang lapar. Makan di rumah adalah lebih menyihatkan. Ini juga menjimatkan perbelanjaan perubatan, dan anda tidak perlu berulang-alik berjumpa doctor. Ini juga bermakna anda menjimatkan masa!

Anda hendaklah mengambil kesemua peluang yang datang apabila anda bekerja di rumah, kerana anda mempunyai banyak masa yang boleh dipergunakan untuk bekerja dan berekreasi. Bila anda mempunyai terlalu banyak artikel untuk ditulis – kadangkala tugasan ini datang sekaligus – anda dapat merancang masa anda untuk dipadankan dengan tugasan dan tarikh tutup. Anda adalah ketua anda sendiri!

Apabila anda bekerja di rumah, anda boleh mengambil pembantu separuh masa. Anda dapat berjimat dari mengambil pembantu rumah sepenuh masa. Kita semua tahu perbelanjaan untuk menggaji seorang pembantu rumah sepenuh masa adalah tinggi.

Bil elektrik, air dan telefon akan berkurangan kerana anda berada di rumah untuk mengawalnya. Tambahan pula, perniagaan dari rumah hanya memerlukan sedikit perbelanjaan tambahan kerana kebanyakan rumah sudah mempunyai perabot, telefon, komputer, malah mesin faksimili. Memulakan rumah-pejabat sungguh mudah. Lebih baik jika perabot tidak banyak kerana ini akan memberi ruang yang lebih luas untuk anda bergerak. Anda juga dapat belajar mempergunakan apa yang ada – improvasi ialah ciri-ciri seorang CEO rumah yang pintar. Gunakan kipas angin, bukannya pendingin hawa untuk menjaga alam sekitar dan menjimatkan tenaga kerana kipas angin menggunakan tenaga elektrik yang kurang.

Tentu sekali kos overhed dan perbelanjaan lain dapat dikurangkan kerana apabila anda bekerja dari rumah, anda tahu banyak perkara… tetapi ia tidak bermakna anda tidak mempunyai pengkhususan kerana anda boleh mengawal apa yang anda mampu lakukan. Anda boleh memilih tugasan dan klien dan menentukan tarikh tutup anda sendiri kerana anda adalah CEO.

Ingat, tiada siapa yang memaksa dan mendesak anda. Anda mencurahkan tenaga dan hasilnya adalah untuk anda juga. Jika anda bekerja dengan pintar, lebih banyak pendapatan yang boleh diperolehi. Dan ini tentu sekali mengurangkan tekanan.

Jangan Terpedaya Dengan Peluang Perniagaan Di Rumah Yang Meragukan Di Internet

Wang segera – cara mudah mendapatkan wang merupakan mimpi menjadi nyata kepada orang yang malas berkerja. Angan-angan tentang kekayaan selalunya menjadikan kita lupa kepada realiti untuk bekerja keras mendapatkan wang. Skim-cepat-kaya bukanlah sesuatu yang baru dan biasanya peserta untuk skim ini akan dijanjikan dengan kekayaan berlipat ganda sedangkan kebenaran skim ini masih boleh dipertikaikan.

Walaupun skim seumpama ini telah lama kita dengar, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, skim-skim seperti ini telah merebak dengan cepatnya ke rumah-rumah mangsa dengan adanya kemudahan internet. Memang tidak dapat dinafikan – kebanyakan kita akan merasa peluang untuk membuat duit dengan hanya duduk di rumah sangat menarik. Oleh yang demikian, kita merupakan sasaran utama untuk dijadikan mangsa untuk skim-skim seperti ini.


Disini ada beberapa petua:


Berhati-hati Pada Alamat Emel Yang Tidak Bernama.
Emel seperti ini biasanya akan dipenuhi dengan perkataan HURUF BESAR dan tanda $$$ menandakan wang segera. Anda akan selalu melihat kata-kata seperti, MUDAH DAN SENANG, ANDA BOLEH MEMPEROLEHI BERIBU-RIBU RINGGIT, PEROLEHI $$ TANPA MEMBUAT APA-APA dan sebagainya. Emel-emel ini biasanya lebih menekankan kepada betapa senangnya mendapatkan sejumlah wang yang banyak dengan cepat tanpa bersusah payah. Faktor ini membawa kita ke petua seterusnya.

Sekiranya Ia Terlalu Bagus Untuk Menjadi Kenyataan, Mungkin Ia Benar.
“Sekiranya anda ingin mendapatkan beberapa ribu ringgit dengan cepat, sila luangkan sedikit masa untuk membaca dan memahami program yang mudah ini,” kata salah satu daripada emel yang saya terima. Ia diteruskan dengan, “Saya yakin anda akan berpuas hati dengan US$50,000 atau lebih yang akan anda perolehi dalam tempoh 90 hari.” Walaupun pada permulaan emel tersebut menjanjikan wang segera tanpa perlu berbuat apa-apa, tetapi daripada pembacaan saya seterusnya saya dapati bahawa untuk melayakkan diri saya mendapat habuan tersebut saya perlu melaburkan sejumlah wang saya sendiri. Sudah tentu ada risiko kehilangan wang pelaburan kita tetapi di dalam emel tersebut masih lagi boleh mengatakan yang skim ini “tidak berisiko”.

Faktor Mendesak
Selalunya pasti ada had penyertaan sebagai faktor mendesak seperti “Peluang ini hanya untuk 10 orang pertama yang menyertainya sahaja”. Pemangsa mendesak anda membuat keputusan samada mahu atau tidak melaburkan wang anda. Mereka tahu bahawa lagi cepat anda membuat keputusan, lagi sedikit anda berfikir dan memeriksa samada skim ini benar. Dan sekiranya mereka hanya beroperasi untuk sementara waktu sahaja, keadaan ini memberi peluang kepada mereka untuk mengaut semua pelaburan dan melarikan diri. Kadang-kadang, ada juga skim yang mengkehendaki anda menghantar wang/pelaburannya sebelum anda mengetahui skim itu dengan lebih lanjut.

Cara Mencari Mangsa
Pernah terfikir bagaimana pemangsa mendapatkan alamat emel anda? Dengan menggunakan Program Pengumpul emel, mereka mendapatkan sebanyak mungkin alamat emel yang mereka mahu, samada alamat-alamat emel ini didapati daripada laman web peribadi, ruang perniagaan atau pusat maklumat bagi kegunaan umum. Ada juga sebahagian daripada mereka yang menulis program sendiri untuk mengumpul emel daripada ‘newsgroups’ dimana nama dan alamat setiap pengguna boleh dikenal pasti.

Terdapat juga pegawai pemasaran yang mendapatkan senarai alamat emel dan pelbagai maklumat peribadi yang lain apabila anda mendaftar untuk servis atau barang secara online.

Jangan Menjadi Mangsa
Jangan buka emel yang anda terima daripada orang yang anda tidak kenali. Sekirannya anda memilih untuk membukanya juga, anda juga menghadapi risiko kemungkinan komputer anda akan dijangkiti virus. Sememangnya peluang berniaga di rumah sangat menarik, tetapi anda perlu menolak mana-mana tawaran yang tidak memberitahu anda dengan siapa anda berurusan sebenarnya atau tempat anda menghantar pelaburan anda secara terperinci.

Jangan terpedaya dengan membeli senarai syarikat yang memerlukan khidmat pekerja di dari rumah. Senarai ini tidak semestinya betul benar kerana syarikat tersebut mungkin tidak mencari pekerja dari rumah ataupun tidak pernah bersetuju untuk disenaraikan sebenarnya.

Sentiasa merasa ragu-ragu dengan peluang perniagaan yang ada dan tanya sebanyak soalan yang mungkin tentang peluang tersebut. Sekiranya pihak tersebut mengelak daripada memberikan maklumat yang anda tanya, berhati-hati dalam langkah seterusnya.

Berwaspadalah dengan testimoni dan pengalaman yang dituliskan oleh orang lain dalam bentuk bertulis kerana ianya mungkin hanya rekaan semata-mata, ditulis oleh orang yang diupah untuk berbuat demikian.

Luangkan masa mencari maklumat, periksa senarai yang disediakan oleh National Fraud Information Center dan juga Better Business Bureau.

Anda juga boleh mencari peluang perniagaan di Google Groups dengan membaca arkib berita-berita yang dihantar oleh orang ramai. Sekiranya ada orang yang pernah menjadi mangsa, kemungkinan beliau akan memberi amaran kepada yang lain.

Sekiranya anda membuat keputusan untuk menyertainya, elakkan daripada menghantar maklumat kad kredit anda melalui internet melainkan anda benar-benar pasti tentang pihak yang menerimanya. Sentiasa pastikan urusan yang dibuat dengan menggunakan kad kredit adalah selamat, terutamanya apabila anda memberikan maklumat peribadi bersamanya. Jangan lupa untuk mencatat semua maklumat urusniaga dan pihak yang menerimanya.

Risiko Yang Anda Akan Hadapi Apabila Menyertai Peluang Perniagaan Yang Mencurigakan Melalui Internet.

Risiko yang paling besar ialah kehilangan wang yang susah payah anda perolehi selama ini. Anda juga akan merasa kesal/bingung/tertekan sekiranya anda telah memberikan maklumat peribadi anda seperti maklumat kad kredit dan akaun bank kepada syarikat yang tidak bertanggung jawab tersebut.

Orang yang terlibat di dalam komplot penipuan ini mungkin boleh menggunakan maklumat yang anda beri kepada mereka untuk kerja-kerja penipuan yang lain seperti mengklon kad kredit anda atau membuat pengeluaran daripada akuan bank anda tanpa anda ketahui.

Peringatan: Sekiranya anda menjadi mangsa kepada penipuan peluang perniagaan yang beroperasi di luar negara, anda tidak akan mempunyai tempat untuk ditujui di dalam negara bagi membantu anda menyelesaikannya.